Panitia Peduli & Prihatin

Tentang Kami

Panitia Peduli dan Prihatin merupakan satu badan yang ditubuhkan bagi menyalurkan maklumat-maklumat tentang isu polemik dunia. Rasulullah Sallahu Alaihi Wa Sallam bersabda "Tidak sempurna iman jika kau tidur dalam kekenyangan, sedang jiran tetanggamu menderita kerana kelaparan". Mari ambil cakna isu dunia.

14 May 2012

.HARI NAKBA.

RUMUSAN DI SEBALIK KESENGSARAAN RAKYAT PALESTIN SEJAK BERTAHUN LAMANYA...

Hari Nakba (Youm Al- Nakba) merujuk kepada " Hari Malapetaka " oleh seluruh rakyat Palestin pada tahun 1948.  Pada 15 Mei 1948, Israel telah mengisytiharkan kemenangan mereka menakluki tanah Palestin dan menganggap seolah-olah mereka telah berjaya menawan kembali tanah milik nenek moyang mereka dari tangan rakyat Palestin. Justeru tercetus satu bentuk pengusiran yang terbesar dalam sejarah hidup warga Palestin kerana seramai kira-kira 700 ribu rakyat mereka diusir ke negara-negara jiran seperti Jordan, Syria dan Lubnan. Dianggarkan sehingga ke hari ini, pelarian yang telah menetap di kem-kem tersebut adalah, Jordan (2 juta orang), Lubnan (427,057 orang) dan Syria  ( 477,700 orang ) termasuk beberapa keluasan tanah di Palestin yang telah dijadikan sempadan antara kerajaan haram Israel dengan Palestin seperti Tebing Barat (788,108 orang) dan Gaza (1.1 juta orang).

Walaubagaimanapun, istilah "Hari Nakba/ Hari Malapetaka" ini tidak dijadikan panggilan rasmi kerana ramai pelarian merujuk sejarah hitam yang berlaku sejak berpuluh tahun lalu sebagai " The Right of Return 1948 " yang mana mengingatkan mereka bahawa perjuangan mereka untuk kembali ke tanah air dan rumah milik mereka masih berterusan dan penaklukan Israel pasti jatuh suatu hari nanti. Replika kunci telah dijadikan simbol sebagai membuktikan bahawa keluarga yang telah diusir berpuluh tahun yang lalu masih menyimpan kunci rumah mereka dan segala jenis dokumen tanah hak milik mereka dengan harapan mereka akan pulang kembali ke rumah asal sebelum diusir keluar melalui Undang-undang Antarabangsa. Beberapa istilah lain yang turut digunakan adalah al-ightisab ("the rape"), al-ahdath ("the events"), al-hijra ("the exodus"), and lamma sharna wa tla'na ("when we blackened our faces and left"). 

Kunci menjadi simbol kepada tuntutan rakyat Palestin untuk pulang ke tanah asal mereka

Sejak tempoh pengusiran tersebut sehingga ke hari ini, tuntutan mereka menyeru persatuan-persatuan antarabangsa sedunia agar mengembalikan hak mereka untuk pulang masih gagal dan tidak kukuh oleh kerana terlalu banyak perkara berbangkit berlaku dalam kalangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu itu sendiri. Selain itu, faktor utama yang memberikan harapan yang tipis kepada rakyat Palestin adalah kerana Israel hanya akan bertolak ansur dengan rakyat Palestin sekiranya mereka bersetuju dengan cadangan kerajaan Israel iaitu "2 States Solution". Cadangan ini secara majoritinya tidak disokong oleh rakyat Palestin di seluruh dunia bukan hanya terhad kepada yang masih menetap di Palestin sahaja kerana Israel mendesak mereka untuk menerima sebilangan tanah yang telah dibahagikan itu untuk dijadikan Tanah Palestin yang merdeka untuk rakyat Palestin sahaja dan bersebalahan dengannya adalah Tanah Israel untuk rakyat Israel sahaja. Sudah tentu cadangan ini masih belum dibincangkan lebih lanjut kerana berdasarkan kaji selidik yang diadakn pada tahun 2007, seramai 1/3 (anggaran 26%) dari warga Palestin di Tebing Barat dan Gaza tidak bersetuju tetapi sebanyak 46% bersetuju dengan dwiwarganegara di dalam satu tanah yang sama. Sungguhpun kelihatan ramai yang menyokong tetapi kedua-dua pemerintah Palestin Hamas(di Gaza),Presiden Ismail Haneyeh dan Fatah, Presiden Mahmoud Abbas (di Tebing Barat) tidak pernah mengadakan pertemuan langsung dengan Presiden Israel, Benjamin Netanyahu bagi membincangkan perkara tersebut. Bangsa Arab yang menetap di Israel turut diberi peringatan agar tidak menyokong kemaraan rakyat Palestin di seluruh tempat berikutan dengan taraf hidup yang lebih tinggi dan terjamin yang mereka nikmati di dalam jajahan Israel berbanding mereka yang menetap di luar jajahan itu.

Ulang tahun Hari Nakba...

Sempena memperingati "Hari Nakba" pada 15 Mei 2012 ini, aktivis-aktivis Palestin sedunia yang menyokong perjuangan rakyat Palestin telah aktif menyebarkan mesej melalui internet dan media untuk memberitahu warga dunia akan kesengsaraan yang dialami rakyat Palestin dalam melalui detik hidup mereka bersama penjajah mereka yang terlalu kejam terutamanya tahanan-tahanan politik di penjara Israel yang telah mengadakan mogok lapar secara besar-besaran buat pertama kalinya. Tujuan mereka melancarkan mogok lapar adalah bagi menyampaikan mesej agar mereka tidak akan bersekongkol dengan kerajaan Israel yang telah menyeksa mereka sepanjang tempoh penahanan dan memberitahu bahawa mereka tidak sepatutnya menghabiskan riwayat hidup mereka di dalam penjara yang terlalu banyak peraturan yang telah memisahkan merekan dengan dunia luar terutama dengan keluarga sendiri. Kebanyakan tahanan ini telah ditangkap tanpa sebarang tuduhan jenayah dan bukti yang kukuh. Ada diantara mereka ditangkap kerana melancarkan tunjuk perasaan, melontar batu ke arah askar Israel, tidak menurut perintah askar atau pihak berkuasa Israel, menjadi aktivis yang berpengaruh di laman web dan banyak lagi tetapi mereka tidak diberikan hak bersuara untuk mempertahankan diri mereka di mahkamah bagi membuktikan mereka tidak bersalah sebaliknya hanya menunggu keputusan tempoh hukuman. Setelah ditangkap mereka dijatuhkan hukuman bertahun-tahun lamanya tanpa dibenarkan ahli keluarga melawat kecuali anak kecil di bawah 18 tahun sahaja. Tahanan-tahanan ini tergolong daripada pelbagai peringkat umur bermula dari pelajar sekolah rendah sehinggalah warga tua. Jadi aktivis-aktivis telah bersepakat pada tahun ini mereka beberapa lukisan rasmi bagi melambangkan tahanan-tahanan di penjara Israel yang sedang mogok lapar. Beberapa demonstrasi di seluruh dunia turut diadakan serentak dengan membawa slogan " In Solidarity with Nakba Day and Palestinian Prisoners on Hunger Strike ".

Beberapa rekaan lukisan yang menjadi lambang bantahan terhadap penahan rakyat Palestin dan mogok lapar. Warna coklat merupakan warna pakaian di penjara tahanan bagi membezakan antara tahanan politik dengan tahanan lain. Perkataan dalam bahasa Yahudi (Hebrew) pada pakaian mereka bermaksud " Shabas" merujuk kepada singkatan bagi Perkhidmatan Penjara Israel.

Pencetus mogok lapar yang pertama adalah Khader Adnan, yang telah ditangkap pada 17 Disember 2011 apabila beberapa orang askar bertopeng memecah masuk rumah mereka pada tengah malam di Arrabe, sebuah perkampungan Palestine berdekatan Jenin, Tebing Barat. Beliau dituduh atas sebab menjadi seorang aktivis yang boleh menggugat kemanan negara walaupun mahkamah Israel itu sendiri tidak menjatuhkan tuduhan tersebut secara rasmi tetapi beliau diarahkan untuk berada dalam tahana selama 4 bulan.Hampir setiap hari beliau disoal siasat secara kejam kerana diletakkan di atas kerusi yang bengkok dengan tangan diikat kebelakang sehingga menyebabkan beliau mengalami sakit belakang. Beliau turut memberitahu bahawa pihak berkuasa Israel mengugut untuk mencederakan keluarganya. Selama 66 hari menahan lapar beliau akhirnya dilepaskan pada 18 April 2012. 

Khader Adnan bersama dua orang anak perempuannya semasa hari beliau dibebaskan.


Kejayaan beliau telah mencetus semangat yang sama dalam jiwa tahanan-tahanan baru selepas pembebasan beliau.Turut menyambung mogok lapar tersebut ialah  Hana Shalabi,43 hari mogok lapar dan ramai lagi termasuklah yang sudah lama berada dalam penjara tersebut. Berikut adalah senarai yang telah dikeluarkan rakyat Palestin dari laporan setiap keluarga tahanan yang mengadakan mogok lapar :

Bilal Thiab, 76 Hari
Thaer Halahleh,76 Hari
Hassan Safadi ,70 Hari
Omar Abu Shallal, 68 Hari
Mohammedd Al-Taj ,60 Hari
Mahmoud Sarsak, 54 Hari
Faris Al-Natur ,47 Hari
Ja'far Ezz Al-Din ,53 Hari
Abdallah Al-Barghouthi ,32 Hari
lebih 2000 tahanan,27 Hari

Hana Shalabi di kem pelarian di Gaza.Pihak berkuasa Israel membebaskan beliau dengan syarat dihantar ke Gaza selama 3 tahun sebelum dibenarkan untuk pulang ke tempat asal, Jenin.

Disunting oleh : Wan Nur Syahirah Binti Wan Rahimi, Unit Penerangan 3P. (14/5/2012)

No comments:

Post a Comment