Panitia Peduli & Prihatin

Tentang Kami

Panitia Peduli dan Prihatin merupakan satu badan yang ditubuhkan bagi menyalurkan maklumat-maklumat tentang isu polemik dunia. Rasulullah Sallahu Alaihi Wa Sallam bersabda "Tidak sempurna iman jika kau tidur dalam kekenyangan, sedang jiran tetanggamu menderita kerana kelaparan". Mari ambil cakna isu dunia.

14 May 2012

Allah Maha Mendengar, Maha Pengasih dan Maha Penyayang.


Kemenangan buatmu ,Palestin. Gambar rakyat Palestin keluar meraikan kejayaan mereka hari ini dalam menegakkan keadilan terhadap nilai-nilai kemanusiaan.

Desakan para tahanan akhirnya dipersetujui oleh pihak berkuasa Israel! Lebih kurang 1,200 tahanan politik di penjara Israel telah menghentikan mogok lapar mereka setelah beberapa tuntutan mereka berkenaan keadaan dan hak tahanan di penjara akhirnya diterima oleh Perkhidmatan Penjara Israel. Kemenangan perang tanpa senjata oleh para tahanan dengan berlapar, mengorbankan kesihatan mereka sehingga ke tahap kritikal dan tanggungjawab penduduk sedunia yang cintakan keadilan dan keamanan ini membuktikan kekuatan dan kemampuan media mendesak kekejaman untuk tunduk dan akur dengan keadilan.

Hasil kesepakatan aktivis Palestin dan penyokong keamanan dari seluruh dunia untuk mencetus sokongan langsung dengan menjadikan lukisan simbolik bagi tahanan Palestin sebagai gambar profil di Laman Facebook, telah memperoleh kemenangan bersejarah dalam diri setiap tahanan, keluarga dan penyokong-penyokong kerana seramai 2 juta orang telah menukar gambar profil tersebut dalam masa beberapa jam sahaja. Melihat desakan yang begitu padu dan kekebalan tahanan untuk tidak mengalah semasa mogok telah melemahkan kepimpinan Israel yang tidak adil dengan bersetuju untuk menandatangani perjanjian tentang beberapa tuntutan yang diperjuangkan tahanan Palestin keseluruhannya.

Perjanjian tersebut telah ditandatangani di antara wakil dari Mesir dan pihak berkuasa Israel yang bertempat di penjara Israel itu sendiri. Setelah termetrainya perjanjian ini, seluruh warga Palestin terutamanya keluarga tahanan meraikan hari bersejarah yang kedua bagi mereka setelah berhari-hari melihat ahli keluarga mereka yang ditahan terbaring kelemahan akhirnya menghentikan mogok lapar dan menerima rawatan lanjut di hospital Israel apabila Jawatankuasa Antarabangsa Bulan Sabit Merah dan Doktor bagi Hak Asasi Manusia - Israel telah menggesa Israel untuk memindahkan banduan ke hospital selepas memberi amaran akan keadaan kesihatan mereka yang kini kritikal. Bermula hari ini, tahanan Palestin di penjara Israel telah dibenarkan untuk menerima lawatan ahli keluarga dengan tempoh yang lebih lama, tiada lagi tahanan seorang diri yang mengasingkan tahanan tanpa seorang pun ahli tahanan sebilik dan yang paling penting ahli keluarga dari Gaza dibenarkan masuk ke Israel untuk melawat. Sejak tahun 2006, ahli keluarga dari Gaza tidak pernah diberikan kelonggaran melawat tetapi hari ini mereka sudah boleh melihat sendiri keadaan ahli keluarga yang ditahan dan meluangkan masa bersama sewaktu mengadakan lawatan.

Namun, pada saat ini majoriti rakyat Palestin dan penduduk sedunia meriah dan gembira meraikan kemenangan ini, masih terdapat orang lagi tahanan yang masih meneruskan perjuangan mereka untuk tidak makan. Dua diantara mereka, Bilal Diab dan Thaer Halahleh berkeras untuk tidak menerima sebarang bentuk makanan,minuman dan bantuan kesihatan selagi apa yang dituntut mereka tidak diterima Israel. Kedua-duanya berpegang teguh dengan prinsip perjuangan mereka iaitu " it's either freedom or martyrdom " yang bermaksud mereka tidak akan mengalah selagi kebebasan bukan menjadi milik mereka walaupun terpaksa syahid. Mereka memberitahu ahli keluarga bahawa mereka akan terus fokus dan tidak lemah dengan kemenangan yang awal ini sebaliknya meneruskan hari ke-78 menahan lapar dan sakit. Bukanlah nama yang diinginkan andai kemenangan menjadi milik mereka sebaliknya inilah satu-satunya cara mereka mendesak agar penahanan mereka dihentikan segera atas sebab tiada tuduhan yang jelas dan arahan rasmi bagi mereka menjalani hukuman lanjut di penjara tersebut. Jadi perjuangan mereka masih belum selesai kerana tuntutan utama yang benar-benar mereka perjuangkan adalah untuk menggesa Israel menghentikan kebolehan mereka untuk menangkap sesiapa sahaja yang dikira mengancam keselamatan mereka tanpa sebarang had tempoh penahan dan sebab yang munasabah. Israel hanya bersetuju dengan kelonggaran keadaan servis di penjara sahaja tetapi berkata bahawa mereka akan terus mengamalkan aktiviti penangkapan selagi perlu demi menjaga keamanan negara mereka.

Setelah merasakan keadaan diri semakin kritikal dan mungkin tiada harapan untuk tuntutannya didengar pihak Israel, Bilal Diab,27,pada hari ke-75 menahan lapar telah menulis wasiat kepada keluarganya. Wasiat tersebut merupakan hasrat beliau untuk ditanam di kedalaman tanah mengikut ajaran Islam, diedarkan gula-gula ataupun cenderahati pada majlis pengebumiannya sebagai satu perayaan berakhirnya perjuangan beliau, menyuruh abangnya Homam menjadi imam sewaktu sembahyang jenazah dan bekas tahanan mogok lapar, Khader Adnan yang meletakkan beliau di dalam kubur sebelum ditanam. Beliau menyampaikan ucapan terima kasihnya kepada seluruh warga Palestin, Arab dan orang Islam sedunia kerana telah menyokong perjuangan mereka yang bersih dari pertumpahan darah.

Poster gambar tahanan politik Palestin yang berada dalam tahap kesihatan kritikal yang dikeluarkan beberap hari lalu.Dari kiri, Thaer dan Bilal.

Oleh yang demikian sebagai seorang muslim sejati, tiada seorang dari kita yang patut menyerah dan berputus asa dari kekuasaan Allah S.W.T selagi kita yakin akan firman Allah dan hadis Rasulullah S.A.W. tentang hikmah disebalik mereka yang bersabar...


يا أيها الذين آمنوا استعينوا بالصبر والصلاة إن الله مع الصابرين
Wahai orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan dengan sabar dan solat, sesungguhnya Allah bersama-sama orang yang sabar.
 [Al-Baqarah: 153]


قال رسول الله صلى الله عليه و سلم للأشج أشج عبدالقيس إن فيك خصلتين يحبهما الله الحلم والأناة
Rasulullah Sallahu ‘Alaihi Wasallam berkata kepada al-A-syaj Abdul Qays; “Sesungguhnya pada dirimu terdapat dua perkara yang dicintai oleh Allah, iaitu kesabaran serta lemah lembut.”
 [Riwayat Muslim]






إن أشد الناس بلاء الانبياء ثم الذين يلونهم ثم الذين يلونهم ثم الذين يلونهم
“Sesungguhnya, manusia yang menerima ujian yang paling berat adalah para Nabi, kemudian orang yang mengikuti mereka, kemudian orang yang mengikuti mereka, dan kemudian orang yang mengikuti mereka.”
 [al-Silsilah al-Sahihah, al-Albani]



أم حسبتم أن تدخلوا الجنة ولما يأتكم مثل الذين خلوا من قبلكم مستهم البأساء والضراء وزلزلوا حتى يقول الرسول والذين آمنوا معه متى نصر الله ألا إن نصر الله قريب
Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu sebelum kamu? mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (dengan ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: “Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah). 
[Al-Baqarah: 214]



أحسب الناس أن يتركوا أن يقولوا آمنا وهم لا يفتنون. ولقد فتنا الذين من قبلهم فليعلمن الله الذين صدقوا وليعلمن الكاذبين
Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu dugaan)?Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu sebelum mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang benar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya akan orang-orang yang berdusta.
 [Al-Ankabut: 2-3]



لا يكلف الله نفسا إلا وسعها
Allah tidak memberi kesusahan seseorang hamba melainkan apa yang terdaya olehnya. 
[Al-Baqarah: 286]



ونبلوكم بالشر والخير فتنة وإلينا ترجعون
Dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai dugaan; dan kepada Kami-lah kamu semua akan dikembalikan. 
[Al-Anbiyaa’: 35]

Editor: Shahera Rahimi, Unit Penerangan 3P (15/5/2012)






No comments:

Post a Comment